Friday, November 26, 2010

Taubat: Pembuka Pintu Kebaikan

SIFAT manusia itu tidak terlepas daripada melakukan dosa, maka salah satu agenda yang perlu tercatit dalam diari kehidupan sehariannya ialah taubat. Agenda taubat itu pula perlu dilaksanakan setiap hari tanpa bertangguh-tangguh, kerana perkara taubat itu amat besar dan amat penting sekali dalam perjalanan kehidupan seharian manusia, lebih-lebih lagi kalau dosa itu melibatkan hak orang lain seperti melakukan rasuah, melakukan kezaliman dan sebagainya, selain ianya sebagai suatu syariat yang wajib dilaksanakan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selaku hamba Allah yang dimuliakan oleh Allah Ta‘ala dengan mengampunkan dosa Baginda yang terdahulu dan yang akan datang, Baginda sendiri bertaubat setiap hari seratus kali, sebagaimana tersebut di dalam hadis sahih, betapa kita hamba Allah yang biasa ini.

Taubat itu merupakan proses pembersihan diri dari segala bentuk maksiat supaya menuju kehidupan yang jernih tanpa dosa. Taubat itu merupakan daya penggerak dalaman pada diri seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna.

Taubat itu juga adalah jalan keluar bagi orang yang kehilangan arah, tercari-cari jalan yang mana hendak dituju setelah tersesat kerana bergelumang dengan dosa, jalan yang berisi harapan yang mengembalikan kepercayaan kepada diri sendiri betapa kasih, rahmat dan ampunan Allah kepada hambaNya amat luas dan tidak terbatas.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Az-Zumar, ayat 53)

Seseorang yang telah melalui proses taubat dengan taubat nasuha, akan merasa dirinya dan hatinya lebih tenang, dengan itu akan mendorongnya untuk memperbaiki segala tingkah lakunya, gemar melakukan kebaikan dan benci kepada kemungkaran.

Al-Imam An-Nawawi mengatakan bahawa taubat itu ialah berhenti daripada melakukan dosa.

Al-Imam Al-Ghazali pula menjelaskan bahawa taubat itu mengandungi pengertian yang tersusun daripada tiga unsur, iaitu: Ilmu, keadaan dan perbuatan.

Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu’ itu ialah mengetahui tentang besarnya bahaya dosa yang mana dianggap sebagai pemisah di antara hamba dengan setiap yang dicintai.

Yang dimaksudkan dengan ‘keadaan’ itu pula ialah rasa pedih hati yang timbul dari perbuatan yang menyebabkan terpisah dengan yang dicintai. Rasa pedih itu dinamakan penyesalan.

Sementara yang dimaksudkan dengan ‘perbuatan’ pula ialah meninggalkan dosa itu, sama ada pada masa sekarang mahu pun pada masa akan datang, serta memperbaiki apa yang telah terlanjur di masa lalu.

Sering juga taubat itu diertikan sebagai satu penyesalan semata-mata. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Penyesalan itu adalah taubat.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat

Terdapat beberapa jumlah dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk langsung kepada ketetapan hukum wajib melakukan taubat, antaranya:

1) Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah At-Tahrim,ayat 8.)

2) Firman Allah Ta’ala di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah An-Nur, ayat 31)

3) Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: “Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu.”

(Hadis riwayat Muslim)

4) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali.”

(Hadis riwayat Muslim)

5) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh urusan dan kerja. Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Syarat Sah Taubat

Taubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan dengan lidah kalimat istighfar yakni “aku meminta ampun kepada Allah”, sedang hati tidak pernah menyesal, tidak mahu berjanji untuk menjauhkan diri dari maksiat.

Para ulama telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa syarat taubat yang mesti dipenuhi. Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat berikut:

1) Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:

i) meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera

ii) menyesali perbuatannya itu

iii) membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.

2) Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak Adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.

Para ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang disebutkan di atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada tujuan yang lain melainkan semata-mata kerana Allah Ta‘ala ataupun semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab Allah di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.

Contoh-Contoh Taubat Bukan Taubat

Jika ada orang bertaubat kerana sesuatu dorongan yang lain selain yang yang disebutkan di atas, umpamanya kerana takut kemudaratan yang akan menimpa terhadap dirinya, kehormatannya atau hartanya jika dia tidak bertaubat, maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras, merokok dan sebagainya kerana takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian itu tidak dinamakan sebagai taubat.

Begitu juga, menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka itu tidak dinamakan sebagai taubat.

Sebagai contoh lagi, menyesali dan bertaubat daripada melakukan zina kerana takut malu kepada orang, tidak dinamakan yang demikian itu sebagai taubat.

Oleh yang demikian, taubat itu mestilah bertitik tolak daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah semata-mata, bukan kerana yang lain-lain.

Langkah-Langkah Menuju Taubat Nasuha

Dalam menuju untuk mencapai taubat nasuha, pertama sekali sebagai asas, perlunya ada inisiatif tertentu yang mesti dilakukan oleh seseorang hamba Allah dalam mencari jalan yang dapat membantunya untuk membersihkan dirinya daripada sebarang dosa.

Terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk menjernihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa, di mana langkah yang dimaksudkan itu merupakan jalan cahaya yang telah ditunjukkan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ’alaihi wasallam. Antaranya ialah:

1) Menghindari tempat maksiat

Hendaklah meninggalkan tempat yang boleh mendorong seseorang melakukan maksiat, kerana kehadiran seseorang itu di tempat yang boleh mendatangkan dosa adalah amat bahaya kepada dirinya, di mana dalam situasi itu akan mudah mempengaruhinya dan menjebaknya ke dalam perangkap dosa.

Al-Qur’an telah memberi petunjuk kepada kita supaya segera menghindari, cepat beredar dari tempat yang berlaku kemungkaran. Cuba kita perhatikan firman Allah Ta‘ala di bawah ini:

Tafsirnya: “Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama-sama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau teringat (akan larangan itu).”

(Surah Al-An‘am, ayat 68)

Sesungguhnya antara hikmat mengapa Allah melarang kita duduk diam di tempat yang berlaku kemungkaran itu kerana ianya boleh mendatangkan mudarat dan bahaya yang besar. Oleh itu, menghindari tempat yang berlaku maksiat bererti kita telah melangkah menghampiri pintu taubat.

2) Memilih kawan yang baik dan menghindari kawan yang tidak baik

Memang tidak dinafikan, kawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kawannya yang lain. Hal ini adalah disebabkan kawan adalah di antara orang yang paling rapat dengan seseorang dalam pergaulan sehariannya. Pengaruh yang tidak baik adalah lebih mudah memberi kesan, lebih cepat memberi tindak balas berbanding dengan pengaruh yang baik. Ini dapat dilihat daripada apa yang sering berlaku di mana-mana. Berapa ramai orang terjerumus ke dalam kancah dosa dan maksiat kerana terpengaruh atau dipengaruhi oleh kawan-kawannya?

Al-Qur’an Al-Karim memberi gambaran kepada kita betapa buruknya akibat atau kesudahan yang menimpa kepada orang yang bersahabat dengan orang yang tidak baik sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul.”

“Wahai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib.”

“Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al-Qur’an) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”

(Surah Al-Furqan 27-29)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi amaran tentang keburukan bersahabat dengan sahabat yang tidak baik, sebaliknya menganjurkan supaya memilih orang yang salih sebagai sahabat. Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan kawan yang salih dan kawan yang tidak baik adalah seperti seorang pembawa minyak kasturi dan peniup puputan (alat untuk menghembus angin daripada buluh atau seumpamanya untuk menyalakan api) tukang besi. Maka pembawa minyak kasturi sama ada dia akan memberikan kepadamu atau engkau akan membeli daripadanya atau engkau akan mendapat aroma yang harum daripadanya. Sedang peniup puputan tukang besi sama ada dia akan menghanguskan pakaianmu atau engkau akan mendapat bau yang busuk.”

(Hadis riwayat Muslim)

Jika syara‘ menganjurkan memilih kawan daripada golongan orang yang baik akhlak, orang yang salih, maka inilah antara jalan yang dapat membantu yang diperlukan oleh orang yang ingin mencapai taubat nasuha, kerana golongan yang sebeginilah yang akan membimbingnya ke jalan yang benar, yang akan mengingatinya jika dia leka dan yang akan menasihatinya jika dia tersesat.

3) Berjuang menangkis pujukan syaitan

Syaitan adalah musuh utama yang nyata yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Oleh itu, bagi orang yang ingin mencapai taubat nasuha perlulah dia sentiasa berusaha melawan dan menangkis segala bisikan dan pujuk rayu syaitan.

Terdapat dua cara bagaimana untuk menangkis pujukan syaitan:

  • Menjaga hati supaya tidak lalai dan hanyut oleh bisikan syaitan. Hati perlu sentiasa dipandu dengan mengingati Allah. Inilah praktis yang diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka (dengan itu) mereka nampak (jalan yang benar).”

(Surah Al-A‘raf, ayat 201)

  • Sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘alasupaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-A‘raf, ayat 200)

4) Sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu

Penyesalan yang berterusan dari seorang hamba yang bertaubat terhadap tindakan-tindakannya yang melibatkan dosa akan menjadi pemangkin kepada agenda taubatnya. Maka dengan itu dia akan sentiasa merasakan betapa keji dan buruknya maksiat itu, betapa besar kemurkaan Allah akan menimpa orang yang melakukannya. Tidak syak lagi, penyesalannya itu akan menjadi benteng kepadanya supaya dia sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya pada hari-hari yang mendatang.

5) Memperbanyak istighfar

Antara langkah yang terpenting untuk mencapai taubat nasuha itu ialah memperbanyak istighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kepentingan istighfar dalam konteks ini dapat dilihat dari berbagai-bagai aspek seperti berikut:

  • Orang yang bertaubat jika dia memohon keampunan (beristighfar) kepada Allah dan dia bersungguh-sungguh dalam istighfarnya nescaya Allah akan memberi keampunan kepadanya, kerana yang demikian itu adalah janji Allah Ta‘ala kepada hambaNya yang benar-benar dan ikhlas memohon keampunan, sebagaimana tersebut di dalam beberapa ayat Al-Qur’an antaranya:

Tafsirnya: “Dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 199)

  • Ketahuilah bahawa sesungguhnya istighfar itu boleh menjadi sebab untuk seseorang yang bertaubat itu dikurniakan ketenangan dan kejernihan dalam kehidupannya. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kepada kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di Akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang salih) akan pahala kelebihanNya itu.”

(Surah Hud, ayat 3)

  • Istighfar boleh menjadi antara sebab yang terbesar untuk menolak atau menyelamatkan seseorang daripada azab dan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Tafsirnya: “Dan tidaklah pula Allah akan menyeksakan mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”

(Surah Al-Anfal, ayat 33)

  • Melalui istighfar akan dapat menimbulkan dan meningkatkan daya ketahanan diri orang yang bertaubat, sama ada kekuatan jasmani mahupun spiritual. Dengan demikian akan menjadikannya lebih bersikap positif, baik terhadap dirinya mahupun terhadap orang lain. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada.”

(Surah Al-Hud, ayat 52)

  • Dengan melazimkan istighfar akan dibukakan bagi orang yang bertaubat itu pintu-pintu rezeki yang luas, jalan keluar daripada segala bentuk kesempitan dan menjauhkannya daripada diliputi perasaan dukacita.Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangsiapa yang tetap mengamalkan istighfar (memohon keampunan) nescaya Allah akan membebaskannya daripada segala bentuk kesusahan, melepaskannya daripada segala bentuk kesempitan dan mengurniakannya rezeki yang tidak disangka-sangka.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

6) Melakukan amal salih

Salah satu langkah untuk memperteguh kedudukan orang yang bertaubat supaya dia beroleh hasil dan tetap berdiri pada landasan taubatnya ialah dengan melakukan amal salih. Amal salih yang dilakukan oleh orang yang bertaubat merupakan bukti keikhlasan dan kesungguhannya dalam bertaubat dan juga menjadi penebus terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.

Selain itu, dengan melakukan amal salih Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menggantikan kejahatan yang telah dilakukannya dengan kebaikan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

“Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”

(Surah Al-Furqan, ayat 70-71)

Dalam konteks ini juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi petunjuk agar kesalahan dosa yang telah dilakukan dibersihkan dengan membuat perkara yang berkebajikan sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada dan susulilah kejahatan dengan melakukan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan.”

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

7) Berdoa

Doa merupakan senjata yang penting bagi orang yang hendak membersihkan dirinya daripada dosa, kerana kehidupan seseorang itu tidak akan terarah di atas landasan yang benar kecuali dengan taufiq dan hidayah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju jalan kebaikan, kemudian memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan rasa rendah diri dan takut sesungguhnya Allah akan membimbingnya ke jalan petunjuk dan memeliharanya daripada kejahatan nafsu dan syaitan.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan berdoalah kepadaNya (Allah) dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah Al-A‘raf, ayat 56)

8.) Muhasabah diri

Antara langkah yang dapat membantu orang yang bertaubat supaya dia sentiasa bersungguh-sungguh dalam taubatnya ialah melakukan muhasabah atau membuat penilaian terhadap dirinya. Dengan melakukan penilaian seperti itu barulah dia dapat mengetahui kedudukan amalan yang telah dilaksanakannya, sama ada baik atau masih ada lagi kekurangan-kekurangan yang perlu ditambah atau dibaiki.Tegasnya berusaha sedaya upaya menjauhi tegahan Allah dan melaksanakan perintahNya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menganjurkan setiap orang yang beriman supaya sentiasa membuat penilaian terhadap amalan yang telah dilaksanakan sebagai bekalan menuju Hari Akhirat sebagaiman firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah disediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Penutup

Taubat suatu syariat yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah-lengah. Ia mengandungi kemuliaan, keberkatan dan nilai yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala jika didasarkan semata-mata keranaNya.

Selain itu, taubat adalah jalan untuk menuju segala macam kebaikan, sama ada kebaikan dunia mahupun kebaikan akhirat. Justeru itu, adalah penting bagi setiap orang melazimkan diri dengan bertaubat pada setiap ketika demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sumber: Jabatan Mufti Brunei Darussalam

copy dengan bangganya dari http://nurjeehan.wordpress.com/2007/03/01/taubat-pembuka-pintu-kebaikan-must-read/


p/s: dari atas sampai bawah, aku tujukan post ni tak lain kepada diri AKU yang sentiasa bergelumang dengan dosa.

1 comment:

Henida Masniera said...

Terima kasih atas perkongsian post ini. Semoga dapat sama sama memanfaatkannya in sha Allah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...